Jumaat, 31 Disember 2010

Melayu pun kena tutup aurat


KOTA BHARU, 31 Dis: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, orang Melayu juga mesti menutup aurat di dalam kawasan surau atau masjid.

Beliau menyatakan demikian ekoran isu yang ditimbulkan media mutakhir ini berhubung senamrobik yang dilakukan masyarakat bukan Melayu di kawasan berkenaan.

“Usahkan di dalam kawasan masjid, di dalam masjid pun tidak apa, termasuklah juga pembelajaran dan persoalan perlantikan ketua negara dan ketua perang serta urusan sakit demam. Semuanya dilaksanakan dalam masjid seperti yang berlaku pada zaman Nabi Muhammad s.a.w.

“Namun dari segi aurat, mestilah dijaga. Usahkan orang Cina, orang Melayu sendiri mesti menutup aurat. Tinggal lagi hendaklah ditegur orang yang tidak menutup aurat dengan sempurna itu,” katanya kepada media pada kuliah mingguan di sini, hari ini.

Mengulas komitmen sesetengah masyarakat Cina terhadap rumah ibadah, beliau berkata walau pun kaum Cina, Orang Asli atau warga Afrika yang hitam, namun apabila mereka itu muslim dan muttaqin, maka adalah layak dilantik menjadi imam sembahyang.

“Ini kerana hina atau tidaknya manusia itu bukan terletak kepada tubuhnya tetapi adalah terletak kepada taqwanya.

“Walau pun dia hamba, tetapi apabila dia diangkat menjadi ketua (termasuk imam sembahyang) maka mesti diikuti.

“Oleh demikian, di Kelantan sendiri, saya sudah membina masjid di Rantau Panjang. Saya meminta orang Cina menjadi imam sembahyang dan saya menjadi makmum pada bulan Ramadhan yang lalu,” katanya.

Sumber Harakah Daily

Bookmark and Share

Bersedia berubah


Sedar tak sedar kita telah memasuki tahun baru.Alhamdulillah,segala syukur dan puji harus kita ucapkan kepada Allah kerana masih memberi peluang kepada kita untuk terus berada di dunia ini meneruskan perjuangan kita.Peluang yang Allah beri untuk makin memperbaiki diri kita.Umur saya kian mencecah 21 tahun walaupun baru sahaja 3 bulan yang lepas mengecapi usia 20 tahun.Rasa tak sangka rupanya kita sudah dewasa,kini alhamdulillah sudah di tahun 3,memori di tahun 1 seolah-olah masih baru.Terima kasih buat ayahda dan bonda yang bersusah payah mendidik dan membesarkan diri ini sehinggalah kini.

Memasuki tahun baru ini pastinya semua orang memiliki azam masing-masing,ada yang nak kuruskan berat badan,ada yang nak study dengan lebih hard,nak berubah jadi baik dan sebagainya.Berbalik kepada azam ingin berubah menjadi baik dan saya yakin ini merupakan impian setiap insan tidak kiralah sejahat mana,kita semua nak jadi yang lebih baik.

Sahabat-sahabat yang dikasihi kerana Allah,berubah menjadi baik bukanlah satu impian atau angan-angan mat jenin,tetapi inilah impian yang harus kita capai.Sesetengah kita nak berubah bila tunggu hidayah Allah nak datang atau tunggu bila dapat keikhlasan.Sahabat-sahabat,sebenarnya hidayah Allah dah lama datang pada kita cuma kita sahaja yang tidak buka hati kita.Contohnya macam ni..kalau ada program-program keagamaan,usrah atau sebagainya yang memang tersedia tapi kita sendiri tidak mahu pergi,dan kita lebih memilih untuk tidak mengikuti mana-mana program,itu ertinya kita tidak membuka hati kita untuk berubah.Hidayah Allah ibarat cahaya matahari yang menyinari sebuah rumah tetapi pemilik rumah itu tidak membuka tingkap rumahnya,jadi bagaimana cahaya itu akan masuk?Pemilik rumah itulah yang seharusnya membuka tingkap rumahnya untuk membolehkan cahaya itu masuk.Sama jugalah dengan diri kita,apabila seseorang lebih mengajak kita kearah kebaikan tetapi kita menafikan dan bermalas-malasan untuk mengikuti kebaikan itu,makanya kitalah yang menutupi cahaya perubahan itu untuk hadir dalam diri kita.

Sahabat-sahabat yang dikasihi,marilah kita membuka hati kita.Cubalah paksa diri kita untuk melakukan kebaikan.Memanglah susah sebenarnya,biarlah pada awalnya kita buat kerana terpaksa tetapi apabila selalu kita lakukan insyaallah akan jadi amalan kita.Contohnya,kita malas sangat nak puasa isnin dan khamis,tapi kita paksa juga untuk buat,memanglah pada mulanya kita rasa terpaksa,tapi insyaallah lama-lama kita akan terbiasa.Janganlah kita menunggu keikhlasan itu datang,kerana ia memang tidak akan datang dengan sendirinya tetapi carilah keikhlasan dengan diri kita,cuba paksa diri kita untuk berbuat kebaikan insyaallah keikhlasan itu akan datang.Janganlah bertangguh untuk berubah kearah kebaikan kerana sesaat waktu yang berlalu tidak akan dapat diganti,jangan biarkan sesaat yang berlalu tanpa melakukan perkara yang berfaedah untuk Allah dan Islam.

Perubahan memerlukan usaha,kalau setakat niat,tidak akan kemana.Angan-angan tanpa usaha ibarat menunggu salji turun ke negara yang tidak bersalji.Buat akhirnya,sama-samalah kita perbaiki diri kita,kerana umat Islam yang baik,hari ini lebih baik dari semalam.Sama-samalah kita berubah dari hari kehari,sentiasalah berdoa kepada Allah untuk diberi kekuatan dan tetap dalam melakukan amalan kebaikan dan sentiasa istiqamah dengan ibadah.Jangan sia-siakan waktu yang kita ada dengan melakukan perkara yang jelas tidak berfaedah untuk diri dan Islam.
Berpenat-penat dalam melakukan kebaikan,akhirnya penat itu akan hilang manakala pahala dan redha Allah itu berkekalan.Salam perubahan.Sirru A'la Barakatillah.